Rabu, 10 September 2014

Minuman Setelah Bersantap Saur

Berpuasa ialah menahan diri daripada makan dan minum serta segala perbuatan yang boleh membatalkan puasa, mulai daripada terbit fajar sehinggalah terbenam matahari.
Oleh itu, pemilihan makanan berkhasiat ketika bersahur amat penting kerana mampu memberi tenaga kepada anda untuk melakukan aktiviti seharian.

yang perlu diminum setelah Sahur

-Air. Pastikan anda minum air yang banyak sebelum anda mula berpuasa.
-Susu. Susu adalah baik untuk diminum kerana mengandungi kalsium, vitamin D dan protein.
-Minuman isotonik seperti Gatorade, Livita, 100Plus kerana mempunyai elektrolit yang membantu menjaga supaya badan tidak terhidrat.
-Jus buah-buahan.

Amalkan minum jus buah-buahan yang anda buat sendiri ataupun hanya beli jus buah tanpa gula di kedai. Hal ini memberikan anda tenaga selain pelbagai khasiat vitamin dan disyorkan oleh pakar pemakanan.

Perkara yang perlu dielakkan saat Sahur :

-Kafein, Minum teh, kopi, atau mana-mana minuman yang mempunyai kafein pada waktu sahur bukan idea yang baik. Kafein adalah diuretik, membuat anda mencerna dengan lebih cepat dan kehilangan banyak cecair. Jika anda perlu minum kafein, minum dalam kuantiti yang kecil dan kemudian minum banyak air.
-Minuman manis: Cuba untuk tidak mengambil terlalu banyak minuman bergula pada waktu sahur.

Memilih Makanan Sehat Saat Hari Raya

Antara juadah popular ketika musim raya tentulah pelbagai kuih raya dan kek yang disediakan untuk tetamu yang berkunjung.
Antara bahan digunakan dalam pelbagai kuih raya dan kek adalah mentega atau majerin. Dari sudut kesihatan, yang manakah lebih baik untuk kesihatan kita?

Ramai tidak menyedari perbezaan antara kedua-duanya kerana rupanya sama. Majerin diproses dan dihasilkan daripada minyak masak seperti minyak kelapa sawit, minyak kacang soya, minyak bunga matahari, minyak safflower dan sebagainya.
Ia menjadi keras dan pejal apabila diproses melalui kaedah 'hidrogenasi' untuk menjadikannya seperti majerin yang kita kenal. Proses hidrogenasi menjadikan lemak dalam majerin bertukar kepada jenis 'asid lemak trans'.

Majerin boleh dianggap sebagai 'makanan proses' kerana ia tidak wujud secara asli. Kajian menunjukkan asid lemak trans adalah berisiko tinggi untuk kesihatan.
Bukan hanya majerin tetapi makanan seperti makanan segera, mi segera, donut, biskut, makanan bergoreng dan makanan proses mengandungi kandungan asid lemak trans yang tinggi.

Ada juga jenis majerin dilabel sebagai 'bebas asid lemak trans' (trans fat free) di pasaran sekarang kerana ia mengandungi asid lemak trans kurang daripada 0.5 gram setiap hidangan.
Kajian dilaporkan dalam New England Medical Journal pada 1990 menunjukkan, pemakanan yang tinggi dengan asid lemak trans akan meningkatkan paras kolesterol tidak baik LDL dan menurunkan paras kolesterol baik HDL.

Berdasarkan satu lagi laporan dalam jurnal perubatan sama pada 1997, pengambilan asid lemak trans meningkatkan risiko mendapat penyakit jantung.
Kajian juga menunjukkan asid lemak trans menyebabkan masalah 'keradangan mikro' dalam saluran darah yang menjadikan punca terbentuknya plak kolesterol dalam dinding saluran darah yang akan menyebabkan saluran darah tersumbat, terutama saluran darah koronari di jantung.

Ada juga kajian menunjukkan pengambilan asid lemak trans berkaitan dengan pelbagai penyakit lain seperti kanser, penyakit Alzheimer, kegemukan, diabetes, kerosakan hati, masalah kesuburan dalam kalangan wanita, masalah kelakuan cepat marah dan agresif serta masalah kemurungan.
Kajian ini dilaporkan dalam pelbagai jurnal perubatan di seluruh dunia. Oleh itu, pada 2002, National Academy of Sciences dalam laporan bertajuk "Dietary Reference Intake for Energy, Carbohydrate, Fibre, Fat, Fatty Acids, Cholesterol, Protein and Amino Acids" memberi saranan kepada kerajaan Amerika Syarikat (AS) dan Kanada untuk mewajibkan polisi pelabelan makanan dan produk dengan label asid lemak trans atau 'hydrogenated vegetable oils'.

Malaysia juga mempunyai undang-undang sama di bawah Kementerian Kesihatan. Oleh itu penting bagi kita untuk membaca label ditulis pada makanan dibeli untuk mengurangkan atau mengelak mengambil asid lemak trans.
Mentega pula dihasilkan daripada lemak susu dari jenis 'lemak tepu'. Sekarang ada juga mentega dihasilkan dari susu lembu yang diberi hanya makan rumput secara 'ternakan organik' dan mentega jenis ini mengandungi kandungan vitamin K, butyrate, CLA dan Omega-3 yang tinggi. Ia pilihan lebih baik untuk kesihatan tetapi harganya lebih tinggi.

Ahli sains dan pakar pemakanan sebelum ini berpendapat, 'lemak tepu' menjadi punca kepada masalah kolesterol tinggi dan sakit jantung. Sekarang, ada pelbagai kajian yang menunjukkan fakta sebaliknya.
Kajian dilaporkan dalam American Journal of Clinical Nutrition pada 2010 yang membuat analisis 21 kajian 'prospective cohort' yang membabitkan 347,747 peserta kajian.

Rumusan dari mata analisis ini, didapati tiada kaitan antara pengambilan lemak tepu dengan peningkatan risiko penyakit jantung dan kolesterol tinggi.
Kajian lain dilaporkan dalam Journal of Clinical Epidemiology pada 1998 bertajuk "The Questionable Role of Saturated and Polyunsaturated Fatty Acids in Cardiovascular Disease" juga merumuskan, tepu tidak menyebabkan masalah kolesterol tinggi dan meningkatkan risiko sakit jantung.

Banyak lagi kajian dilaporkan dalam jurnal perubatan merubah pendapat ahli perubatan mengenai punca sebenar masalah penyakit jantung dan kaitannya dengan pemakanan lemak tepu.
Oleh kerana itu, ramai pakar pemakanan mula menyatakan, mentega lebih baik daripada majerin walaupun mentega mempunyai kandungan lemak tepu. Tiada kajian menunjukkan asid lemak trans mempunyai apa-apa faedah kesihatan sehingga kini.

Bagaimanapun, kita patut berpada-pada dalam pengambilan makanan berlemak tepu dan tidak melampau. Kita patut meninggalkan pengambilan makanan yang mempunyai asid lemak trans dan memilih alternatif lebih sihat.
Dalam konteks kek dan kuih raya, berdasarkan rumusan kajian terkini, penggunaan mentega adalah lebih sihat kepada kesihatan.

Fungsi dan Manfaat Bola Untuk Senam

Penggunaan bola sebagai satu alatan senaman boleh menambah variasi kepada amalan penjagaan kesihatan fizikal dan mengelakkan rasa bosan ketika bersenam.
Dikenali sebagai 'Swiss Ball', sempena nama negara pengeluarnya, bola senaman juga mempunyai pelbagai nama lain termasuklah bola keseimbangan, bola kecergasan, bola badan, bola gimnasium, bola yoga dan sebagainya.

Fungsi bola senaman pada asalnya digunakan sebagai peralatan terapi anggota badan bagi kanakkanak yang menghadapi masalah lemah fizikal.
Melihatkan keberkesanannya, penggunaannya semakin berkembang dan diperluaskan dalam pelbagai jenis senaman yang berfungsi membantu mengempiskan perut, mengecilkan paha dan membuang lemak pada bahagian tertentu.

Selain membantu menguruskan badan, bola senaman juga sesuai untuk mengurangkan masalah sakit belakang. Bola senaman diperbuat daripada PVC lembut dan elastik. Ia didatangkan dalam saiz diameter 35 sentimeter (sm) hingga 85 sm.
Senaman menggunakan bola ini boleh digunakan dengan cara berbaring dan meniarap di atas bola. Selain itu, anda boleh mengangkat bola menggunakan kaki dan meletakkan kaki di atas bola sambil melakukan tekan tubi dan duduk bangun.

Untuk menguatkan otot kaki, anda boleh berbaring sambil meletakkan bola di celah kaki dan angkat serta kedua-dua tangan lurus di sisi.
Penggunaan bola senaman menjadi pilihan memandangkan harganya mampu dimiliki, selain boleh dilakukan di rumah.
Setiap rutin pergerakan hendaklah diulang sebanyak lapan kali dan peruntukkan masa sekitar 30 minit hingga 45 minit bagi setiap sesi senaman untuk hasil terbaik.

Bagi yang suka melakukan tekan tubi, anda boleh berbuat demikian dengan meletakkan bola di lantai dan kedua-dua kaki di atas bola, tangan di kepala dan angkat kepala serta bahu ke paras dada.

Manfaat bola senaman

- Membuang lemak paha.
Baring di atas bola, tegakkan badan ke hadapan lalu angkat satu kaki di atas bola.

- Membuang lemak di perut.
Tolak badan ke hadapan, angkat dada, luruskan kaki dan angkat tangan ke paras telinga.

- Menguatkan otot kaki.
Baring di lantai, letakkan bola di celah kaki dan angkat manakala tangan lurus di sisi.

- Mengempiskan perut.
Letakkan bola di atas lantai. Letakkan kaki di atas bola, letakkan tangan di kepala dan angkat kepala dan bahu ke paras dada.

- Mengatasi masalah sakit belakang.
Masih dalam kedudukan sama, kaki diluruskan dan diletakkan di atas bola. Tangan letak di sisi, angkat dada dan badan lurus.

- Menguatkan otot paha, kaki, pinggang dan sisi badan.

Ulangi langkah sama tetapi kali ini angkat sebelah kaki dan bengkokkan. Tangan kanan angkat buat bentuk L manakala tangan kiri masih memegang bola.

Diet Khusus Untuk Golongan Darah 'A'

Dr. Peter J.D'Adamo dalam bukunya menyarankan pemilik jenis darah A mengambil diet vegetarian dengan pengambilan makanan yang mengandungi lektin yang sedikit.

Ini kerana jika kandungan lektin diambil dalam kuantiti yang banyak akan mengakibatkan masalah perut. Menurut beliau lagi, golongan individu yang memiliki jenis darah A menghasilkan kandungan lendir lebih banyak berbanding jenis darah lain.

Keadaan ini menimbulkan risiko terhadap jenis penyakit jenis alahan seperti asma, infeksi telinga dan gangguan pada saluran pernafasan. Selain itu sumber makanan berasaskan haiwan seperti ikan dan ayam boleh diambil tetapi dalam kuantiti yang terbatas.

Individu dengan jenis darah ini juga dianjurkan mengambil susu yang telah melalui proses penapaian seperti susu masam, krim tanpa lemak, keju alami, telur dari jenis organik atau ayam kampung (dalam jumlah terbatas), lemak (dalam jumlah terbatas, kekacang dan bijirin dan susu kacang soya.

Individu darah jenis ini perlu mengambil sayur-sayuran dan buah-buahan dalam kuantiti yang banyak.

Makanan yang harus dihindarkan adalah hidangan laut berwarna putih seperti ikan siakap putih, cumi-cumi, daging lembu, daging salai, susu, keju hasil olahan industri, kacang merah, roti, kuih-muih, kek, kentang, mangga, betik, jeruk, pisang, minyak jagung dan minyak kacang tanah.

Ciri khas individu jenis darah A:

  • Memiliki sistem pencernaan yang sensitif
  • Perlu menghindari makanan yang daripada produk susu dan daging
  • Dianjurkan menjadi vegetarian atau mengambil makanan berkadar karbohidrat tinggi, namun rendah lemak
  • Mengurangkan stres dengan bermeditasi, atau berolahraga
  • Cukup beristirehat


Menu diet yang dianjurkan:


  • Sarapan: Air putih dicampur jus limau nipis dan oat
  • Snek: Jus anggur / kopi
  • Makan Tengah Hari: Salad dan roti gandum satu potong serta teh herba
  • Snek: Kuih beras dua potong dan teh hijau
  • Makan Malam: Pasta tanpa daging campur brokoli, yoghurt dan teh herba